Monday 6 February 2012

Dan Cintaku Itu Pun Ditolak

Setiap kali mobil bimbitmu bernyanyi
Kau melarikan diri
Bersembunyi di balik
Serombong gita cinta
Dan akulah pemabuk buta
Menunggu dungu untuk kau sahutkan suaranya.

Memang engkau tiada pernah berjanji
Akan menantiku di hujung pelabuhan
Dan menyanyikan lagu-lagu kecintaan
Cuma akulah penagih rindu
Cuba mentafsir sisir lautmu
Melebihi beban pelayaranku.

Tahulah
Barangkali aku bagimu sekadar
Butir pasir di tubir bibir
Yang akan hanya singgah
Setiap kali badai mendesah
Dan akan engkau singkirkan
Pada setiap hujung keberangkatan.

Tahulah aku
Sebelum ombak mahu gelodak
Cintaku itu ditolak
Sebelum sauhku sempat berlabuh
Kemudimu geruh dan berputar
Kau hilang bagai camar
Meninggalkan aku terdampar
Ke laut sasar
Tanpa layar
Nanar dan onar. 
 Azhan Uthmani, Pumpong, Alor Star.

No comments:

Post a Comment